PERUTUSAN HARI GURU
MENTERI PELAJARAN MALAYSIA 2012
Y.A.B TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
DI MAJLIS PELANCARAN PERAYAAN HARI GURU KALI KE-41
PADA 16 MEI 2012; PUKUL 10.00 PAGI
BERTEMPAT DI DEWAN JUBLI PERAK, KUALA KANGSAR, PERAK
TEMA: “GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI
PENDIDIKAN NEGARA”
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir, MB Perak;
Yang Berhormat Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran I;
Yang Berhormat Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi, Timb. Menteri Pelajaran II;
Yang Berbahagia Dato' Dr. Rosli bin Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian
Pelajaran Malaysia;
Yang Berbahagia Dato' Sri Abdul Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah
Pelajaran Malaysia;
Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd. Idris bin Haji Ramli, Timbalan Pengarah
Jabatan Pelajaran Negeri Perak
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah
Pelajaran Malaysia,
Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Ketua-Ketua Bahagian Kementerian
Pelajaran Malaysia, Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri,
Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puanpuan dan para pendidik yang saya hormati sekalian.
1. Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. dengan limpah izin
dan kurnia-Nya, dapat kita sama-sama berkumpul di Bandar DiRaja Kuala
Kangsar, Perak pada hari ini sebagai tanda pengiktirafan dan terima kasih kita
yang tidak terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru, warga
Kementerian Pelajaran dan semua insan yang bergelar pendidik di negara kita.
Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri DiRaja Dr.
Haji Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak atas kesudian kerajaan negeri
Perak menjadi tuan rumah sambutan Perayaan Hari Guru yang ke-41 pada
tahun ini.
(((((((((Sila klik 'Baca Lagi' di bawah ini)))))))))))))
GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
2. Malaysia sedang berada di ambang negara maju. Untuk tempoh lapan
tahun dari sekarang, negara kita akan melalui satu fasa transformasi penting
yang akan menentukan samada kita berjaya melangkah ke gerbang negara maju
apabila fajar tahun 2020 menyinsing. Dalam era transformasi ini, seluruh minda
dan kudrat rakyat perlu digembleng untuk memacu kemajuan negara dalam
persekitaran global yang lebih mencabar.
3. Sepanjang perjalanan kita melalui liku zaman transformasi, bukan sedikit
cabaran yang bakal kita hadapi. Bagi para guru, cabaran paling getir adalah
bagaimana untuk melonjakkan kualiti dan ekuiti pendidikan dalam tempoh yang
terdekat. Tujuannya ialah, pertama, supaya sistem pendidikan negara kita
mampu melahirkan insan yang berupaya memacu kemajuan pesat negara dan
mengisi keperluan sebuah masyarakat maju. Dan kedua, supaya setiap murid di
negara kita, tanpa mengira kaum, agama, wilayah dan status sosial berpeluang
untuk mengecap nikmat pendidikan yang berkualiti secara adil dan saksama.
4. Lantaran itu, kerajaan memberikan tumpuan utama kepada usaha
meningkatkan kualiti pendidikan negara secara menyeluruh. Ini kerana kita tahu
bahawa menyediakan pendidikan yang berkualiti untuk rakyat adalah satusatunya wadah bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan,
berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan berdaya saing. Modal insan inilah yang
akan memacu kemajuan negara kita ke tahap yang lebih tinggi. Di pundak
merekalah letaknya harapan kita untuk melihat kemajuan dan pembangunan
negara dijana dengan lebih pesat dan mapan, demi kesejahteraan dan
kemakmuran masa depan kita bersama.
5. Usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara telah kita mulakan.
Sejak tiga tahun yang lalu, kita telah melaksanakan empat inisiatif di bawah
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan, yang
bertujuan untuk memperluas akses kepada pendidikan yang berkualiti dan
berkemampuan. Alhamdulillah, berkat kegigihan para guru di segenap pelusuk
negara dan sokongan padu seluruh warga Kementerian, kita telah menempa
kejayaan yang membanggakan. Dalam tempoh yang singkat, kadar penyertaan
murid pra-sekolah berjaya kita tingkatkan, sasaran penguasaan literasi dan
numerasi murid mampu kita capai, bilangan sekolah berprestasi tinggi
bertambah dan bai’ah dengan pengetua dan guru besar terlaksana. Syabas dan
tahniah saya ucapkan kepada semua guru dan warga kementerian yang telah
menggerakkan seluruh kudrat dan ikhtiar untuk meningkatkan kemerlangan
pendidikan negara.
Saudara dan saudari yang saya hormati,
6. Kita pastinya berbangga dengan kejayaan besar yang dicipta oleh guruguru kita. Selama lebih lima dekad berada di persada pendidikan negara, guruguru kita telah memberi sumbangan yang amat bermakna kepada kemajuan dan
pembangunan yang kita kecapi hari ini. Berkat sentuhan para gurulah, lahirnya
insan-insan yang terdidik dengan ilmu dan adab, yang kini berada di setiap
lapangan ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan sebagainya untuk
menggerakkan kemajuan bangsa dan nusa. Kejayaan negara kita beralih
daripada sebuah negara berasaskan ekonomi pertanian kepada sebuah negara
perindustrian baru yang pesat berkembang, sebahagian besarnya adalah kerana
jasa dan bakti para guru. Justeru, tidak ada sesiapapun yang boleh memandang
rendah dan memperleceh peranan serta sumbangan besar para guru terhadap
kemajuan yang dicapai oleh negara kita hari ini.
7. Sementara kita menghargai segala jasa guru, kita tidak mengambil sikap
mudah berpuashati dengan pencapaian sedia ada. Dalam menghadapi
persaingan global yang semakin sengit, kita tahu bahawa sistem dan amalan
pendidikan di negara kita perlu ditransformasi. Kualiti guru-guru kita perlu
dimantapkan, mutu kepimpinan sekolah perlu ditingkatkan, kurikulum dan sistem
pentaksiran perlu diperkemaskan, prasarana sekolah perlu ditambahbaik,
sumber dan sistem penyampaian pendidikan perlu diurus dengan lebih cekap.
Pendek kata, keseluruhan sistem pendidikan kita perlu disemak dan
dimantapkan kualitinya secara bersepadu.
8. Sehubungan itu, Kementerian telah memulakan proses Kajian Semula
Pendidikan Negara. Satu laporan awal yang menggariskan aspek-aspek utama
yang perlu diberi perhatian telahpun disediakan oleh kumpulan pakar. Kita juga
telah memulakan proses Dialog Nasional Pendidikan Negara untuk mempelawa
pandangan dan saranan daripada seluruh rakyat, tentang cara bagaimana kita
boleh meningkatkan mutu dan tahap pendidikan negara kita agar setanding
dengan negara-negara maju. Saya mengambil kesempatan ini untuk
mengundang guru-guru menyertai dialog pendidikan negara dan tanpil dengan
idea-idea bernas untuk meningkatkan mutu pendidikan kita.
9. Apatah lagi, aspek paling penting dalam proses kajian semula pendidikan
ini ialah kualiti guru. Hanya guru yang berkualiti dapat mewujudkan pendidikan
yang berkualiti. Saya percaya, guru-guru yang telah lama berkecimpung dalam
bidang pendidikan dapat mengemukakan saranan terbaik tentang bagaimana
kualiti guru, termasuk kualiti pengajaran dan pembelajaran, dapat kita tingkatkan.
GURU BERKUALITI, GURU BERINOVASI
Saudara dan saudari yang saya hormati,
10. Dalam menempuh era globalisasi yang semakin diwarnai oleh ekonomi
berteraskan ilmu dan inovasi, maka pada hemat saya, guru yang berkualiti
adalah guru yang berinovasi. Izinkan saya memberi sedikit huraian tentang apa
yang dimaksudkan dengan guru berinovasi. Pada pengamatan saya, guru
berinovasi ialah guru yang mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid
dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara kritis,
kebijaksanaan menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi. Dalam
konteks ini, sebelum melangkah masuk ke bilik darjah, seorang guru berinovasi
akan menekuni kurikulum dan menilai apakah keberhasilan yang ingin dicapai.
Ketika berada di dalam bilik darjah, guru berinovasi tidak akan terikat dengan
sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran, tetapi
sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah dan
pendekatan baru yang lebih berkesan. Yang penting, objektif pembelajaran
dicapai.
11. Selanjutnya, seorang guru berinovasi juga akan memberi tumpuan
kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh merangsang daya fikir
dan daya kreativiti murid. Keutamaan guru berinovasi ialah untuk memastikan
murid berupaya menggunakan ilmu yang diajar di dalam bilik darjah bukan
semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan, tetapi untuk membolehkan
mereka menyelesaikan permasalahan yang dihadapi di dunia nyata. Bermaksud,
guru berinovasi ialah guru yang mampu menyediakan persekitaran pembelajaran
paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk
mengasah kebijaksanaan berfikir. Seterusnya, guru berinovasi juga berupaya
menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik, serta sentiasa mengambil
langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya mereka
dapat bersaing di dunia yang semakin mencabar.
12. Ini bermakna, guru berinovasi ialah guru yang sentiasa memikirkan
apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah
keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah
mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di alam nyata. Untuk
itu, guru berinovasi akan sentiasa menggunakan pelbagai kaedah dan cara
untuk mengasah daya fikir, daya kreativiti dan daya tahan murid, dan seterusnya
menjadikan mereka insan yang berdaya saing dan berakhlak mulia. Sekiranya
semua guru di negara kita adalah guru berinovasi, saya yakin matlamat kita
untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif dan
berketrampilan akan tercapai.
KEJAYAAN GURU DAN SEKOLAH BERINOVASI
13. Keyakinan saya berasaskan kepada fakta bahawa pada masa ini di
sekolah-sekolah kita di segenap ceruk tanah air, terdapat mutiara inovasi yang
bergemerlipan. Antaranya, murid Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4,
Subang Jaya telah merangkul pingat emas dalam Pertandingan World Robotic
Olympiad di Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu pada bulan November tahun lalu.
Kejayaan ini membuktikan pendidikan berteraskan kreativiti dan inovasi mampu
melahirkan murid yang berjaya menempa kecemerlangan di peringkat
antarabangsa. Tahniah saya ucapkan kepada murid dan guru SMK USJ 4,
Subang Jaya.
14. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Cikgu Harris Ganae bin Nanar
dari Sekolah Menengah Sains Kepala Batas yang berjaya memenangi Pingat
Emas bagi kategori Modul Pengajaran Terbaik dalam pertandingan ASEAN
Camp for Gifted In Science pada tahun 2011. Cikgu Harris juga patut dipuji
kerana hasil inovasi beliau, Sekolah Menengah Sains Kepala Batas telah meraih
banyak kejayaan dalam Pertandingan Rekacipta di peringkat kebangsaan dan
antarabangsa. Ini termasuk Pertandingan Inovasi Sains SBP Kelapa Sawit
anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan The Second APEC Conference for
the Gifted In Science di Korea.
15. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Cikgu Khairuddin
bin Nasa dan Cikgu Abdul Razak bin Haron dari Sekolah Menengah
Kebangsaan Khir Johari, Sungai Sumun Perak, yang telah berjaya merangkul
Anugerah Guru Inovatif 2012. Semoga kejayaan anda berdua akan mendorong
guru-guru di seluruh negara untuk menjadi guru berinovasi, bersesuaian dengan
tema Hari Guru tahun ini.
MEMANTAPKAN BUDAYA INOVASI DI SEKOLAH
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
16. Kementerian akan terus berusaha untuk meningkatkan pembudayaan
inovasi di sekolah. Bermula tahun 2011, Kementerian telah melaksanakan
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang menekankan aspek
pemikiran kritis, kreatif dan inovatif sejak peringkat awal persekolahan. Saya
yakin transformasi kurikulum yang dilaksanakan akan membuka peluang kepada
guru untuk mengenalpasti strategi penambahbaikan proses pengajaran dan
pembelajaran secara berterusan. KSSR diharap menjadi landasan kepada guru
untuk menjana pelbagai kaedah pengajaran dan seterusnya mengatasi masalah
murid lemah menerusi teknik pembelajaran secara intervensi.
17. Kementerian Pelajaran juga telah bekerjasama dengan Agensi Inovasi
Malaysia (AIM) untuk membudayakan kemahiran berfikir melalui Program iThink. Program ini adalah antara pendekatan baru yang sesuai diguna pakai
oleh guru untuk meningkatkan pena’akulan dalam kalangan murid. Program ini
telah dirintis di sepuluh buah sekolah dan diharapkan dapat diperluaskan ke
seluruh negara untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
18. Selain itu, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi
sedang merangka Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif untuk
membudayakan inovasi dan kreativiti dalam kalangan murid. Melalui pelan ini,
sekolah akan bertindak sebagai agensi pelaksana yang menjalankan pengajaran
dan pembelajaran secara kreatif bagi melahirkan modal insan yang inovatif.
Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif diharap akan digunakan
sepenuhnya oleh guru sebagai garis panduan untuk mencapai hasrat negara
meningkatkan keupayaan daya saing negara yang diukur berdasarkan
kemampuan rakyat untuk berinovasi.
MEMARTABAT PROFESYEN KEGURUAN
19. Usaha membudayakan inovasi di sekolah tidak akan tercapai tanpa guruguru yang berkualiti. Oleh itu, Kementerian sentiasa berusaha meningkatkan
kualiti guru melalui sokongan dasar, latihan dan insentif. Dalam hubungan ini,
Kementerian komited untuk mencapai sasaran 60 peratus guru siswazah di
sekolah rendah dan 90 peratus guru siswazah di sekolah menengah menjelang
tahun 2015. Sehingga kini, program pensiswazahan guru telah berjalan lancar
dengan 69.6 peratus daripada 66,124 guru yang disasarkan telah menerima
tawaran mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi.
20. Biarpun mengharap dedikasi guru yang tidak terhingga dalam mendidik
anak bangsa, kerajaan tetap mengambil perhatian serius terhadap keluhan guru
yang terbeban dengan pelbagai tugas dalam memastikan kelancaran dan
keberkesanan organisasi sekolah. Oleh itu, Jawatankuasa Kerja Pelaksana
Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi
menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru. Antaranya,
Jawatankuasa Kerja ini memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah yang
merupakan satu sistem tunggal kemasukan data untuk mengurangkan beban
tugas guru yang menggunakan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini.
Sistem ini telah dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah, dan dijadualkan
semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru
ini menjelang tahun 2013.
21. Selain itu, KPM juga sedang menjalankan kajian rintis bagi penempatan
Pembantu Tadbir N17 sehingga Jun 2012 untuk melihat impak penempatan
Pembantu Tadbir bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru.
Seterusnya satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan
Perkhidmatan Awam bagi perluasan penempatan Pembantu Tadbir N17 di
sekolah-sekolah di bawah Kementerian. Bagi menangani isu beban tugas guru
ini juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian
dan peperiksaan setara serta menambahbaik pengendalian ujian dan
peperiksaan di peringkat sekolah. Oleh itu, pada tahun ini hanya satu
peperiksaan setara sahaja dibenarkan. Pemansuhan sepenuhnya ujian dan
peperiksaan setara akan dikuatkuasakan mulai tahun 2013, di mana semua ujian
akan dijalankan dalam waktu pengajaran dan pembelajaran.
22. Selaras dengan usaha kerajaan untuk menambah baik Skim
Perkhidmatan Pendidikan, peruntukan tempoh minimum kenaikan pangkat
secara Time-Based berasaskan kecemerlangan dikekalkan sebagaimana
diumum oleh YAB Perdana Menteri pada 8 Mac yang lalu. Bagi Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan Siswazah gred DG41, hanya 8 tahun diperlukan untuk
kenaikan ke gred DG44, 8 tahun untuk gred DG44 ke DG48, 6 tahun untuk gred
DG48 ke DG52, dan hanya 3 tahun untuk DG52 ke DG54. Manakala bagi
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma gred DGA29, hanya 8
tahun diperlukan untuk naik ke gred DGA32, 8 tahun untuk gred DGA32 ke
DGA34, dan hanya 5 tahun untuk gred DGA34 ke DGA38.
23. Lanjutan pengumuman YAB Perdana Menteri, seramai 390 orang guru
telah dinaikkan ke gred DG54, manakala 676 orang ke gred DG52, 3,938 orang
ke gred DG48 dan 19,805 orang ke gred DG44. Bagi Guru Bukan Siswazah
pula, seramai 399 orang dinaikkan ke gred DGA38, manakala 2,639 orang
dinaikkan ke gred DGA34 dan 9,519 orang ke gred DGA32. Dianggarkan
seramai 8,222 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan 15,831
orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma akan
dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat apabila memenuhi syarat tempoh
perkhidmatan mulai 1 Jun 2012 sehingga 31 Disember 2012. Guru-guru boleh
membuat semakan di laman web Kementerian Pelajaran mulai hari ini.
24. Selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kecemerlangan
pendidikan dan memartabatkan profesion keguruan, saya ingin memaklumkan
bahawa proses kenaikan pangkat Pengetua dari gred DG48 ke DG52 dan
Penolong Kanan dari DG44 ke DG48 telah dilaksanakan oleh Kementerian.
Setakat ini seramai 854 orang Pengetua telah dinaikkan pangkat dari DG48 ke
DG52 dan 4,270 orang Penolong Kanan telah dinaikkan pangkat dari DG44 ke
DG48. Kenaikan pangkat ini melibatkan Pengetua dan Penolong Kanan yang
merupakan penyandang sedia ada sebelum atau pada 31 Disember 2011, dan
yang memangku jawatan sebelum atau pada 31 Disember 2010. Tarikh
kuatkuasa kenaikan pangkat ini adalah pada 1 Januari 2012. Baki penyandang
jawatan Pengetua dari gred DG48 ke DG52 seramai 430 orang dan baki
penyandang jawatan Penolong Kanan Gred DG44 ke Gred DG48 seramai 2,655
orang akan diperakukan secara berperingkat mulai Jun 2012 setelah calon-calon
memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
25. Bagi melaksanakan semua urusan kenaikan pangkat Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan, kerajaan telah memperuntukkan 934 juta ringgit, iaitu
satu jumlah besar yang membuktikan kesungguhan kerajaan memberi
pengiktirafan kepada usaha para guru dalam membentuk modal insan yang
berpersonaliti unggul. Justeru, saya berharap agar peluang kenaikan pangkat ini
akan memberi semangat dan dorongan kepada semua guru untuk meningkatkan
prestasi.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
26. Saya yakin guru berinovasi akan dapat mentransformasi pengajaran dan
pembelajaran bagi melahirkan murid yang berdaya saing, berakhlak mulia dan
bersemangat waja. Saya berharap guru juga sentiasa memelihara kemuliaan
akhlak dan ketinggian budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi suri
teladan kepada murid dan masyarakat.
27. Untuk memastikan ilmu pengetahuan dapat diterima dengan sebaiknya
oleh murid, saya amat berharap agar guru bukan sahaja menyampaikan ilmu,
tetapi bertindak sebagai murabbi yang berperanan mendidik rohani, jasmani,
akal dan emosi murid supaya mereka dapat menghayati dan mengamalkan ilmu
yang dipelajari. Maka, guru menggalas amanah yang amat mulia dalam
memperbaharui dan memperbaiki kehidupan manusia. Tajdid pendidikan akan
terhasil apabila guru dapat membangun jiwa, membina akal dan membentuk
akhlak manusia dengan asuhan ilmu dan adab yang mulia.
28. Sesungguhnya, tidak terhitung jasa dan bakti guru kepada bangsa dan
negara. Justeru, saya bagi pihak kerajaan ingin mengucapkan jutaan terima
kasih kepada para guru dan semua insan yang bergelar pendidik, baik yang
berada di sekolah, di institut pendidikan guru, di kolej-kolej matrikulasi, di institusi
pengajian tinggi, di institusi-institusi latihan atau di mana jua anda berada,
samada yang masih berkhidmat atau telah bersara. Saya mengucapkan terima
kasih yang tidak terhingga atas segala sumbangan dan pengorbanan anda
semua dalam menggalas amanah mulia mendidik anak bangsa dan mengangkat
martabat nusa. Kepada guru-guru pesan saya, sayangilah murid anda, dan
kepada murid nasihat saya, hormatilah dan hargailah jasa guru anda.
Akhir kalam, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya
merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-41 Tahun
2012.
Selamat Hari Guru! Terima Kasih Cikgu!
Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.